SELAMAT MELAYARI BLOG BAHASA MELAYU SEKOLAH RENDAH

Jumaat, 21 September 2012

Tatabahasa

Latihan Imbuhan - Isikan tempat kosong dengan imbuhan yang sesuai

Latihan Imbuhan

Bubuh imbuhan yang sesuai pada kata dasar yang diberikan dalam ayat.


1.       _____________  (tulis) yang terkenal itu sepupu saya.

2.       Adik sedang ______________ (tulis) sepucuk surat kepada kawannya di Amerika.

3.       Tolong _____________________ (letak) beg ini di atas meja itu.

4.       Rumah Ali _____________________  (letak) di atas bukit.

5.       Jangan ___________________ (dekat) pemuda itu kerana dia kepala angin.

6.       Anda seharusnya tahu kalau sebuah planet berukuran sangat besar ________________ (dekat) Bumi.

7.       __________________________ (pamer) itu akan diadakan selama sebulan.

8.       Tolong _____________________  (pamer) lukisan itu di ruang tamu.

9.       Ali ______________________ (pamer) hasil kraf tangannya di Pusat Pameran Kuching.

10.   ______________________ (latih) yang diberi oleh Cikgu Ismail sangat merunsingkan.

11.   Budak-budak itu sedang ____________________ (latih) olahraga di Stadium Bukit Jalil.

12.   Untuk mahir bersilat kita perlu _______________ (latih).

13.   Jurulatih itu __________________ (latih) pasukan keranjang sekolah saya.

14.   Abang saya sedang menyiapkan ___________________ (tugas) yang diberikan oleh guru.

15.   Pelajar dialu-alukan berjumpa dengan guru ________________ (tugas) andainya terdapat sebarang masalah.

16.   Bapa saya menerima ______________  (rawat) di klinik kesihatan.

17.   Doktor itu sedang __________________________ (rawat) ayah saya yang sakit tenat.

18.   Kos ____________________ (rawat) penyakit kanser dianggarkan di antara RM40,000 hingga RM300,000.


Jawapan : 1. Penulis, 2. Menulis, 3. Letakkan, 4. Terletak, 5. Dekati, 6. Mendekati, 7. Pameran,
8. Pamerkan, 9. Memamerkan, 10. Latihan, 11. Berlatih, 12, berlatih, 13. Melatih, 14. Tugasan,
15. Bertugas, 16. Rawatan, 17. Merawat, 18. rawatan,

Kata Nama Am

Khamis, 20 September 2012

Dailog


 

Faedah-faedah Membaca

Amar : Assalamualaikum…!

Aini    : Waalaikummussalam…! Eh, Amir! Ingatkan siapa tadi. Duduklah…

Amar : Terima kasih. Awak baca buku apa tu…

Aini : Saya baca buku agama bertajuk ‘Bukti-bukti Kebesaran Allah’. Banyak kebaikannya
         membaca buku ini. Antaranya, saya dapat merasai keimanan saya semakin meningkat.

Amar : Baguslah! Dengan membaca, pengetahuan kita tentu akan bertambah. Sebab itulah
           kebanyakan orang yang rajin membaca akan berjaya dalam bidang yang diceburi
           mereka.

Aini : Kenapa pula awak datang ke sini, Amar?

Amar : Sebenarnya saya memang sengaja datang ke sini kerana ingin berbual-bual sahaja
           sebagai mengisi masa lapang saya sekarang…

Aini : Oh, begitu! Kenapa awak tidak isikan masa lapang tersebut dengan membaca buku-buku.
         Dapatlah masa lapang itu diisi dengan perkara-perkara yang lebih berfaedah.

Amar : Betul Aini. Tapi… saya rasa berbual-bual dengan awak pun perkara yang berfaedah juga.
           Kita boleh berbual tentang pelajaran dan sebagainya.

Aini : Eem… betullah tu, tetapi jika hanya berbual kosong, lebih eloklah kita membaca buku.
         Melalui membaca juga, pembendaharaan kata kita akan semakin bertambah.Maaf, boleh
         saya bertanya, markah kertas ujian karangan kamu baru-baru ini berapa?

Amar : Eh, malulah nak cakap! Saya cuma mendapat 65 peratus sahaja. Saya rasa susahlah nak
           buat karangan tu. Awak pula bagaimana?

Aini : 95 peratus! Dahulupun saya macam awak juga tetapi setelah saya selalu membaca, saya
         berasa lebih mudah untuk membina ayat dalam karangan. Awak selalulah membaca,
         mungkin awak akan mendapat markah yang lebih tinggi nanti.

Amar : Betul juga cakap awak. Selepas ini saya akan cuba isikan masa lapang saya dengan
           membaca buku.

Aini : Baguslah macam itu. Saya harap awak akan berjaya. Lagipun membaca juga dapat
         menghiburkan kita tau. Banyak buku cerita yang boleh menghiburkan kita di pasaran
         sekarang seperti majalah ‘Kuntum’ dan sebagainya.

Amar : Saya selalu terlihat majalah yang memaparkan model seksi di muka depannya dijual
           di gerai-gerai buku. Saya berasa janggallah untuk membelinya.

Aini : Amar! Amar! Bukan semua majalah sesuai untuk kita membacanya. Pilihlah majalah yang
         baik yang boleh meningkat ilmu pengetahuan kita. Bukannya majalah yang menyebabkan
         kita berbuat dosa.

Amar : Terima kasih Aini atas nasihat awak. Eloklah saya pulang dahulu. Hari pun sudah semakin
           senja.
Aini : Baiklah.

Syarahan

Faedah-faedah Kitar Semula.

 

Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Guru Besar, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah "Faedah-faedah Kitar Semula".

Hadirin sekalian,

Pelbagai bahan terbuang seperti tin minuman, surat khabar dan sebagainya boleh dikitar semula menjadi bahan atau alat yang berguna. Oleh yang demikian, kita seharusnya tidak membuang bahan-bahan yang telah digunakan tersebut begitu sahaja untuk mengelakkan pembaziran. Bekas yang diperbuat daripada plastik, kaca atau alaminium yang telah digunakan boleh dikumpul dan dijual semula untuk diproses menjadi bahan baharu.

Apabila bahan-bahan terbuang dapat dikitar semula, secara tidak langsung akan juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran alam sekitar. Ini akan dapat mengurangkan sampah sarap yang berbau busuk berlonggokan di sana-sini yang menyakitkan mata. Kesannya alam sekitar kita menjadi lebih bersih, berudara segar dan dapat mengurangkan masalah kesihatan kita semua.

Hadirin sekalian,

Kitar semula juga dapat menambah pendapatan kita. Dengan menjual kertas, surat khabar lama, tin minuman, botol kaca dan botol plastik, sedikit sebanyak akan membantu menampung perbelanjaan kita seharian.

Selain itu, kitar semula juga dapat mengatasi masalah penggunaan kawasan yang luas bagi tujuan perlupusan sampah-sarap. Dengan kitar semula, kita dapat menjimatkan ruang kawasan perlupusan sampah. Kawasan itu sebaliknya boleh dibangunkan untuk perkara lain seperti dijadikan kawasan perumahan dan sebagainya.

Oleh sebab itu, saya menyeru kepada semua pihak agar tidak membuang barang-barang yang terpakai masing-masing begitu sahaja. Kita mestilah bekerjasama mengitar semula bahan-bahan yang kita telah digunakan dengan mengumpul barang-barang tersebut supaya dapat dikitar semula menjadi bahan yang lebih berfaedah serta dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.

Sekian, terima kasih.

Cara Menulis

Gambar di bawah merupakan tulisan daripada salah seorang murid yang kita dapat lihat cara atau pun teknik menulisnya kurang betul. Sebagai guru, dapatkah anda kesan apakah kesalahan dilakukan murid semasa menulis ini?
Gambar ini diambil dari sudut murid melihat dan dalam masa yang sama juga menulis. Kesilapan yang ketara apabila kita dapat lihat tulisan murid tidak betul, condong, terlalu jarak dan tidak boleh dibaca.

Faktor ini disebabkan cara menulis murid yang dilihat :
  1. Tangan yang menulis itu menutup penglihatan menyebabkan murid tidak nampak huruf apakah yang hendak ditulis.
  2. Apabila penglihatan semasa menulis terhad, murid akan tundukkan kepala dan menulis pada jarak meja dan kepala terlalu rapat. Keadaan ini menyebabkan murid mengeluh keana sakit leher.
  3. Cara murid memegang pensel yang terlalu tegak juga menyebabkan jarak penglihatan murid menjadi terhad
Murid sudah terbiasa dengan cara menulis yang seperti ini. Jika tidak diperbetul, maka sampai bila-bila murid akan terbiasa dengan cara dan kaedah menulis yang tidak betul ini.
Sebagai guru, gunakan pengalaman anda menulis untuk memperbetul cara memegang pensel, cara duduk semasa menulis dan jarak penglihatan pada postur menulis yang betul.
Bagi murid yang baru belajar menulis, jangan terlalu mendesak murid atau mengaharapkan mereka boleh terus menulis dengan cantik dan kemas. Ia akan mengambil masa untuk murid belajar biasakan diri dengan kaedah dan teknik menulis yang betul

Melengkapkan Cerita : Alia

Aku dan rakan-rakan menyertai lathan sukan di sekolah. Semasa latihan tersebut berlangsung aku terdengar jeritan. Aku pun…

Mulakan cerita dengan:
Aku pun…

_____________________________________________


Aku pun segera berlari ke belakang astaka kerana jeritan tersebut datangnya dari situ. Setibanya di belakang astaka, aku terkejut benar apabila mendapati Alia meraung kesakitan sambil memegang kakinya. Wajahnya pula berpeluh dan pucat.

Aku segera menghampirinya dan bertanya untuk mengetahui puncanya. Dia segera menunjukkan kakinya yang kelihatan bengkak dan lebam. “Kaki ku terperosok ke dalam lubang ini semasa aku berlari di sini tadi”, rintihnya sambil menunjukkan sebuah lubang kecil di situ.

Aku memintanya bertenang sementara aku pergi meminta bantuan. Kemudian aku terus berlari meminta pertolongan daripada Cikgu Hamidi yang kebetulan sedang berjalan menuju ke astaka tersebut.

Dengan segera, Cikgu Hamidi mendapatkan Alia untuk memberikan pertolongan. “Kaki Alia cuma terseliuh sahaja”, kata cikgu Hamidi setelah memeriksa kaki Alia. Aku bersyukur kerana kecederaan Alia tidaklah begitu teruk.

Kemudian, Cikgu Hamidi meminta aku memanggil beberapa orang pelajar lain untuk mengangkat Alia ke kantin sekolah sementara beliau ke bilik guru untuk mengambil minyak urut.

Di kantin, aku menggosok kaki Alia yang cedera dengan minyak gamat yang diberi oleh Cikgu Hamidi. Sambil tersenyum, Alia segera mengucapkan terima kasih kepada kami sejurus aku selesai menyapukan minyak urut di kakinya.

Sebelum bersurai daripada latihan sukan petang itu, Cikgu Hamidi mengingatkan para pelajar supaya tidak bermain di belakang astaka kerana permukaan tanah di situ masih belum diratakan kerana kerja-kerja pengubahsuaian astaka masih dalam pembinaan .

Langgar Lari

Pada suatu petang, aku dan dan jiranku Amin bermain layang-layang di tengah padang di hadapan rumahku. Aku ingin mencuba layang-layang yang baru dibeli oleh ayah semalam. Kebetulan pula masa itu cuaca cerah dengan angin bertiup kencang tentu amat sesuai untuk bermain layang-layang.

Sedang kami leka berusaha menaikkan layang-layang tersebut, tiba-tiba kedengaran satu jeritan di jalan raya. Aku menoleh dan mendapati seorang nenek jatuh terjelepok di tepi jalan. Manakala, sebuah motosikal pula memecut laju meninggalkannya.

Tanpa berlengah, aku berlari mendapatkan nenek tersebut. Setibanya di situ, kami segera membantunya bangun tetapi dihalang olehnya. Beberapa tompok darah kelihatan di atas jalan raya. Kasihan sungguh melihatnya, apatah lagi apabila medengar dia mengerang kesakitan.

Aku meminta Amin mengutip barang-barang nenek yang bertaburan sementara aku pulang ke rumah untuk memberitahu keluargaku tentang kejadian tersebut. Setelah melihat keadaan nenek itu, ayahku segera menelefon ambulan bagi membawanya ke hospital.

Kira-kira 20 minit selepas itu, ambulan pun tiba. Sebelum bertolak ke hospital, nenek itu sempat mengucapkan terima kasih kepada kami semua.

Selepas itu, aku bermain layang-layang semula dengan perasaan bangga kerana dapat menolong nenek itu. Walau bagaimanapun, terdetik juga kesedihan di hatiku daripada peristiwa ini. Janganlah bertindak zalim serta bertanggungjawablah atas kesalahan yang kita lakukan.

Perbahasan: "Belajar Secara Kendiri Lebih Baik Berbanding Belajar Secara Berkumpulan".

Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang serta hadirin sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk perbahasan kita pada pagi ini ialah ''Belajar Secara Kendiri Lebih Baik Berbanding Belajar Secara Berkumpulan''. Namun sebagai pembangkang, saya tetap menyatakan bahawa belajar secara kumpulanlah yang lebih baik berbanding belajar secara kendiri.

Hadirin yang dikasihi,

Belajar secara kumpulan membolehkan kita berkongsi idea melalui sesi perbincangan atau sumbang saran. Oleh itu, pembelajaran berkumpulan pasti dapat memantapkan ilmu dan meningkatkan kemahiran berfikir.

Di samping itu, belajar secara kumpulan juga membolehkan pelajar berkongsi nota dan bertukar-tukar maklumat dalam masa yang singkat. Mampukah pelajar yang belajar secara kendiri memperoleh faedah sedemikian? Saya yakin, tidak!

Hadirin yang budiman,

Belajar secara berkumpulan juga dapat memupuk kerjasama. Pemupukan ini penting untuk melahirkan pelajar yang prihatin dan bertanggungjawab. Bukankah ini antara cara yang terbaik membentuk masyarakat yang cemerlang.

Selain itu, pelajar dapat memupuk pelbagai sikap positif terutama semangat berpasukan dan semangat berjuang untuk sama-sama memperoleh kejayaan. Sikap sebegini sukar diperoleh sekiranya anda belajar secara kendiri.

Berasaskan hujah-hujah tadi, jelaslah bahawa belajar secara kumpulan memang lebih baik berbanding belajar secara kendiri. Justeru, amalkanlah belajar secara berkumpulan demi kecemerlangan bersama.

Sekian hujah saya.Terima kasih.